Published on 18 Oct 2025

Penyelidikan, pengajaran Pengajian Melayu tidak harus tumpu pada Nusantara sahaja

German scholar Prof Arndt Graft, who was appointed the first holder of the Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS) Professorship in Malay Studies at NIE-NTU in 2025, believes that Malay Studies should not be confined to the study of the Malay world alone. Instead, what is learned and researched in Malay Studies can be applied to a broader global context, especially today, amid conflicts emerging around the world. Prof Graf, 61, shared his insights during a public lecture titled ‘Preserving Heritage, Building the Future: Exploring the Role of Malay Studies as a Bridge for Communities through the Lens of MAS’, held at The Pod, National Library building, on 9 Oct.

 

Pengajian Melayu tidak seharusnya terkongkong kepada pendidikan dan pengajian di rantau Nusantara.

Sebaliknya, apa yang dipelajari dan dikaji dalam Pengajian Melayu boleh diterapkan dalam konteks dunia yang lebih luas, terutama kini, dengan kemunculan konflik di serata dunia, kata Profesor Arndt Graf.

Seorang pakar dalam Pengajian Melayu dari Jerman, Profesor Graf telah berkongsi pengamatannya semasa kuliah umum bertajuk, ‘Melestarikan Warisan, Membina Masa Depan: Menelusuri Peranan Pengajian Melayu sebagai Jambatan Komuniti Melalui Lensa Pemikian Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS)’, yang disampaikan di The Pod, bangunan Perpustakaan Negara (NLB), pada 9 Oktober.

Melalui kuliah tersebut, Profesor Graf, 61 tahun, telah menggambarkan pengaruh MAS terhadap Pengajian Melayu dan identiti budaya Singapura.

“Kita harus ada kebingkasan. Kebingkasan itu boleh datang daripada sastera atau daripada masyarakat.

“Dalam menghadapi kejutan-kejutan (ketidaktentuan) yang akan datang, mungkin kebingkasan kita sebagai masyarakat perlu ditingkatkan, sebagai satu langkah pertahanan,” ujar Profesor Graf.

Beliau menyatakan perihal itu sebagai respons kepada soalan mengenai hala tuju yang patut diambil kira oleh Pengajian Melayu supaya dapat membina masyarakat yang rapat dan boleh menjadi jambatan antara agama dan ilmu dengan masyarakat.

Pesanan utama Profesor Graf bagi pemerhati Pengajian Melayu adalah untuk menjadi rakan dan aktivis masyarakat Melayu yang menjalin hubungan erat dengan masyarakat kerana itulah yang menjadi harapan MAS.

MAS, yang merupakan antara pengasas Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50), selain terlibat secara aktif di peringkat awal pembentukan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), telah meninggal dunia pada 23 Mac 2016.

Mengulas lebih lanjut, beliau merujuk kepada karya-karya yang pernah diterbitkan MAS sepanjang hayatnya, termasuk sajak, novel, drama serta kertas-kertas kerja.

“Sastera Melayu dari awalnya, bukan sahaja indah malah ada fungsi sosialnya.

“Mengapa MAS begitu aktif dalam masyarakat sehingga menulis novel?

“Ini kerana novel merupakan alat untuk mendidik. Itulah fungsi seorang pemikir pada ketika itu.

“Beliau tidak boleh sendiri, beliau harus melibatkan masyarakat, dengan apa yang ada,” tambah Profesor Graf.

Profesor Graf dilantik penyandang pertama Kursi MAS dalam Pengajian Melayu atau ‘Dr Muhammad Ariff Ahmad Professorship in Malay Studies’ di Institut Pendidikan Nasional (NIE) – Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2025.

Sebagai Pengerusi, tanggungjawab Profesor Graf termasuk menasihati, mengajar dan bekerjasama dalam penyelidikan bagi bidang Pengajian Melayu di NIE.

Di samping itu, beliau harus memberi kuliah umum dan menerbitkan Siri Kuliah dan Penyelidikan Profesor MAS, bagi meningkatkan lagi keteguhan akademik dan pengiktirafan antarabangsa dalam bidang tersebut.

Justeru, sepanjang lawatannya ke Singapura dari 6 hingga 10 Oktober, Profesor Graf terlibat dalam Sidang Profesor pada 8 Oktober yang membayangkan semula masa hadapan pendidikan di Singapura, selain menghadiri sesi perbincangan tertutup bersama pihak berkepentingan pada 10 Oktober.

Sebagai penyandang pertama Kursi MAS, Profesor Graf akur ia adalah amanah besar bagi dirinya untuk meneruskan legasi MAS.

Namun, beliau berharap dengan adanya peluang seperti kuliah untuk pendidik, ia akan memberi ruang baginya menjalankan tugasnya sebaik mungkin.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) beliau berkongsi minatnya dalam rantau Asia Tenggara berputik pada 1980-an, dek minatnya untuk belajar bahasa dan pandangan hidup warga asing.

“Saya selalu ragu jika teori sosial sejarah yang diceritakan di Eropah menyeluruh, atau apakah ia sesuatu yang berunsur etnosentrik (kepercayaan pengalaman dan pandangan sendiri lebih baik daripada orang lain) atau eurosentrik (tertumpu pada budaya atau sejarah Eropah)?

“Dan pada ketika itu saya rasakan sudah waktunya untuk keluar daripada wawasan eurosentrisme untuk belajar sesuatu yang berlainan,” katanya.

Lantas, dunia Melayu menjadi pilihan Profesor Graf kerana masyarakat majmuk di situ memberikan pelbagai perspektif yang boleh beliau kaji.

Bermula dengan mempelajari bahasa Indonesia di Universiti Hamburg, Jerman, Profesor Graf mengungkapkan kesukaran serta daya tarikan bahasa itu.

Beliau berkata: “Pengalaman yang paling menarik dalam mempelajari Bahasa Indonesia pada mulanya, ia seolah-olah mudah.

“Tetapi kalau kita mahu menulis dari segi akademik, kalau kita mahu membaca akhbar yang bermutu tinggi, kita harus mempunyai penguasaan bahasa Melayu atau bahasa Indonesia yang cukup bagus.

“Bagi saya, apa yang menarik di dunia Melayu ini, ada begitu banyak bahasa dan suku bangsa yang hidup bersama secara damai dan ada begitu banyak lapisan makna yang boleh diucapkan.”

Apabila ditanya tentang cabaran memartabatkan Pengajian Melayu dalam kalangan generasi muda, beliau berkata meskipun generasi muda mungkin tidak lagi cenderung membaca buku-buku tebal, namun minat mereka terhadap media sosial dapat memberikan manfaat.

“Saya mendengar perkongsian terdapat sekelompok pelajar NIE yang sangat aktif dalam media sosial Malaysia dan mereka menggunakan bahasa Melayu.

“Dengan demikian, mungkin generasi muda akan meneruskan penggunaan bahasa Melayu tetapi caranya berbeza dengan cara generasi sebelumnya. Itu hak generasi muda,” kata Profesor Graf.

Sebagai pakar dalam persimpangan antara linguistik, budaya dengan politik di Asia Tenggara, Profesor Graf pernah memegang jawatan sebelumnya di Universiti Sains Malaysia (USM) dari 2007 hingga 2009 dan Universiti Hamburg dari 1999 hingga 2006.

Selain itu beliau juga pernah menjadi sarjana pelawat di institusi seperti Universiti Cornell di New York, Universiti Islam Negeri Jakarta di Indonesia, Université de La Rochelle di Perancis dan Universiti Malaya.

Read the original article here

The video interview can be found here.

Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction.