Published on 04 Jan 2026

JENDELA 2026: Lebih ruang, lebih pilihan - Pendidikan SG terus bergerak ke arah pendekatan lebih fleksibel

Dr Mohd Aidil Subhan, Senior Lecturer at the National Institute of Education (NIE), emphasises that Higher Malay builds advanced language proficiency through higher-order thinking, academic discourse, and deeper socio-cultural understanding. He notes that the subject enables students to critically analyse, evaluate, and express complex ideas, empowering them as confident and capable bilingual thinkers.

With more students now eligible to take Higher Malay, Dr Aidil stresses the need for adaptive teaching approaches. Teachers are well prepared through professional training, and effective instruction should prioritise practice, differentiated learning, and tailored support that considers students’ abilities, interests, and learning needs to ensure meaningful and effective outcomes.

SINGAPURA: Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran yang sangat diminati Nur Raihana Shari.

Maka tidak hairanlah apabila beliau mengambil keputusan untuk mengambil Bahasa Melayu Lanjutan di peringkat menengah setelah meraih gred cemerlang dalam keputusan PSLE tahun lalu.

Bermula tahun ini, lebih ramai pelajar seperti Raihana layak mengambil Bahasa Ibunda Lanjutan dengan kriteria kelayakannya dilonggarkan.

Sebelum ini, pelajar perlu mendapatkan keputusan PSLE yang cemerlang bagi kesemua empat subjek - Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Ibunda untuk layak mengambil Bahasa Ibunda Lanjutan di peringkat menengah.

Dengan kriteria yang dilonggarkan, pelajar hanya perlu mendapatkan gred yang cemerlang iaitu AL1 atau AL2 bagi Bahasa Ibunda atau Kepujian atau Merit bagi Bahasa Ibunda Lanjutan di peringkat PSLE untuk layak mengambil Bahasa Ibunda Lanjutan di sekolah menengah.

Bagi Raihana yang merupakan antara sekitar 1,000 pelajar yang layak di bawah kriteria baharu itu, ia merupakan satu berita baik kerana dapat mendalami subjek yang diminatinya.

"Saya berasa sangat gembira kerana saya boleh terus mengambil Bahasa Melayu Lanjutan dan terus mempelajari sesuatu yang lebih lanjut dalam Bahasa Melayu. Kerana saya rasa yang saya boleh 'natural' dengan bahasa dan saya tidak terlalu stres bila saya mempelajarinya," kata Raihana.

Menurut Kementerian Pendidikan, langkah ini bertujuan memperkukuh kemahiran dwibahasa dalam kalangan pelajar.

Pendekatan ini juga memberi peluang kepada lebih ramai pelajar yang menyerlah dalam Bahasa Ibunda untuk mencabar diri di peringkat lebih tinggi.

"Bahasa Melayu Lanjutan ini membangunkan tahap penguasaan bahasa yang lebih tinggi melalui kemahiran berfikir aras tinggi, keupayaan wacana akademik dan pemahaman sosio budaya yang lebih mendalam, kepada para pelajar yang mengambilnya," kata Pensyarah Kanan NIE, Dr Mohd Aidil Subhan.

"Bahasa Melayu Lanjutan membolehkan para pelajar menganalisis, menilai dan mengungkap idea yang kompleks secara kritikal dan bernuansa. Ini memperkasa para pelajar sebagai pemikir dwibahasa yang yakin dan berkeupayaan tinggi. Ini penting dalam proses kita untuk meluaskan para pelajar yang yakin dalam penggunaan bahasa Melayu," tambahnya.

Dengan lebih ramai pelajar layak mengambil Bahasa Melayu Lanjutan, penyesuaian dari segi teknik mengajar juga perlu dilakukan agar pembelajaran boleh dilaksanakan dengan berkesan.

"Apabila kita lebih ramai dapat pelajar yang mengambil BML, perlu ada penyesuaian cara mengajar tetapi yang penting, guru-guru kita sudah bersedia mengajar kerana mereka sudah menerima latihan mengajar bahasa Melayu di apa sahaja peringkat dan program yang ada," kata Dr Aidil.

"Yang penting adalah pengamalan, pembelajaran dan pembezaan. Mengambil kira keperluan, minat dan tahap keupayaan para pelajar. Dengan jumlah para pelajar yang semakin banyak dan luas, guru-guru perlu beri sokongan lebih dan mengenal pasti apa yang perlu dilakukan dengan memberi contoh supaya para pelajar dapat mengikuti program BML dengan lebih baik dan berkesan." tambahnya lagi.

Bagi Raihana, persiapan awal sudah pun dimulakan kerana menyedari akan tuntutan lebih tinggi bagi subjek tersebut di peringkat menengah.

"Saya akan membaca buku seperti novel ataupun komik untuk meningkatkan kosa kata dan juga peribahasa saya. Saya juga mungkin akan menonton drama bahasa Melayu. Saya cuba untuk fikir positif bahawa ia akan sama sahaja di sekolah rendah, kerana walaupun ia lebih susah tetapi saya akan mencuba sebaik mungkin." kata Raihana.

PROGRAM ASAS POLITEKNIK DIUBAHSUAI UNTUK BERI LEBIH FLEKSIBILITI KEPADA PELAJAR
Langkah tersebut antara perubahan dalam landskap pendidikan tahun ini yang memberi lebih ruang dan fleksibiliti kepada pelajar mengembangkan potensi masing-masing.

Perubahan sama turut dilihat dalam Program Asas Politeknik (PFP) bagi pelajar peringkat 'N' yang ingin melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Di bawah pelaksanaan baharu bermula tahun ini, PFP dibahagikan kepada tiga kelompok bidang dan bukan lagi terikat kepada satu kursus diploma pada tahun pertama.

Tiga kelompok bidang itu adalah seperti berikut:

1. Sains
2. Sains Kemanusiaan, Seni, Media dan Perniagaan
3. Rekaan, Kejuruteraan dan Teknologi

Ini bermakna, pelajar akan mengambil subjek-subjek kemahiran asas pada tahun pertama dan hanya memilih diploma khusus apabila memasuki tahun kedua pengajian.

Pendekatan baharu PFP ini diharap dapat membantu pelajar lulusan GCE peringkat 'N' seperti Adly Rizky Amzah membina asas kukuh dalam menempuh pendidikan di politeknik.

"Kerana dari sekolah menengah, kalau kita pergi ke politeknik sahaja, mungkin kita tidak boleh ikuti apa mereka akan pelajari dan mungkin kita tidak boleh berasa sedia," kata Adly

"Jadi dengan PFP, saya rasa ia boleh menolong kita dengan menyiapkan kita untuk kursus kita," tambahnya lagi.

Walaupun Adly sudah menanam hasrat mengambil diploma dalam pengurusan penerbangan, PFP juga berfungsi sebagai jaringan keselamatan, sekiranya kursus itu dirasakan kemudian tidak sesuai.

"Jika saya rasa saya akan pilih kursus yang salah atau ia bukan seperti yang apa saya inginkan, ia akan memberikan saya lebih idea dan lebih masa untuk mendapat tahu apa kursusnya dan apa saya akan hadapi dalam kursus itu," kata Adly.

KURANGKAN PENEKANAN TERHADAP GRED, LUASKAN TAKRIF MERITOKRASI

Pendekatan yang lebih inklusif dan fleksibel ini sejajar dengan gesaan Perdana Menteri Lawrence Wong untuk mengurangkan penekanan terhadap gred serta meluaskan takrif meritokrasi meliputi kemahiran dan keupayaan pelajar.

Pemerintah juga kata PM Wong akan meluaskan sokongan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah agar mereka mendapat permulaan pendidikan yang setara.

Sejajar dengan usaha itu, lagi 49 prasekolah kini menawarkan yuran yang lebih rendah bagi memastikan pendidikan awal kekal dimampui.

Mulai bulan ini, yuran bulanan prasekolah dihadkan tidak melebihi $650 berbanding $680 sebelum ini.

MOE AMBIL LANGKAH LEBIH TEGAS PELIHARA KESEJAHTERAAN PELAJAR

Dalam masa yang sama, langkah lebih tegas turut diperkenalkan demi memelihara kesejahteraan pelajar.

Bermula tahun ini, penggunaan telefon dan jam bijak pelajar sekolah menengah diperketat, termasuk di luar waktu pembelajaran.

Di bawah garis panduan sebelum ini, pelajar sekolah menengah tidak boleh menggunakan telefon bijak atau jam tangan bijak semasa waktu pembelajaran.

Mulai bulan ini, larangan itu diperluas kepada waktu bukan pembelajaran - termasuk waktu rehat, kegiatan luar darjah serta kelas tambahan, pengayaan atau pemulihan.

MOE juga sedang mempertimbangkan saranan-saranan bagi memperkukuh rangka kerja menangani kes buli di sekolah, susulan kepada beberapa kes buli sebelum ini.

Antara cadangan yang diteliti termasuk penubuhan unit anti-buli serta bimbingan pakar yang dijangka diumumkan pada separuh pertama tahun ini.

Dalam dunia yang kian berubah, pendekatan pendidikan yang lebih menyeluruh ini diharap dapat memperluas erti kejayaan, dengan masyarakat menghargai kepelbagaian bakat dan kemahiran, bukan hanya pencapaian akademik.

Read the original article here.  

Source: Berita Mediacorp © Mediacorp Pte Ltd. All rights reserved.