Published on 29 Jan 2023

Mutiara jati diri wanita arif budiman

Berita Harian featured Dr Roszalina Rawi's article on female figures among the Singaporean Malay community. Dr Kamsiah, A/P Hadijah and Dr Sa'eda were three hero figures named in the article. They are educators who have greatly served the development of Malay teachers in Singapore. She continued to share each of their strengths.

BAK MUTIARA: Ketiga-tiga tokoh wanita ini merupakan para pendidik yang telah banyak berkhidmat kepada pembangunan guru-guru Bahasa Melayu di Singapura, dan layak dipandang tinggi serta diraikan. Mereka adalah Profesor Madya Dr Kamsiah AbduIlah (kiri), Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat (tengah) dan Dr Sa'eda Buang (kanan). - Foto-foto fail

"Ketiga-tiga tokoh wanita dalam esei ini, Profesor Madya Dr Kamsiah, Profesor Madya Dr Hadijah dan Dr Sa'eda merupakan wanita-wanita mutiara yang harus dipandang tinggi dan diraikan.

Semoga segala sumbangan mereka kepada keluarga, masyarakat dan negara menjadi perangsang kepada kita semua dan mereka sentiasa terpelihara seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Al-Waaqi'ah 56:23)."

- Penulis.


SEMASA memilih topik bagi makalah ini, saya menimbargkan beberapa tajuk.

 

Saya tering at topik kajian peringkat Sarjana saya iaitu 'Konsep wira di kalangan kanak-kanak Melayu'.

Antara dapatan saya dalam kertas kerja itu adalah kurangnya tokoh-tokoh wanita yang dinobat mahupun dikenali sebagai wira dalamkalangan masyarakat Melayu Singapura.

Profesor Madya Dr Kamnah Abdullah: Perintis pendidikan guru-guru Bahasa Melayu di Singapura

Seawal 30 tahun dahulu, dalam Seminar Antarabangsa Minda Melayu 1995: Menilai Diri Mencapai Wawasan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor, profesor wanita Melayu pertama di Singapura, Dr Kamsiah Abdullah telah berhujah tentang ciri-ciri yang membentuk jati diri wanita Melayu Singapura.

Beliau membentangkan faktor-faktor dalam tiga domain utama yang membangunkan jati diri kumpulan tersebut.

Tiga domain yang beliau ketengahkan adalah pertama; domain peribadi, kedua; domain rumahtangga dan keluarga dan akhir sekali domain negara.

Menurut beliau, dalam domain peribadi, jati diri wanita Melayu Singapura dipengaruhi oleh agama, pendidikan dan penguasaan kedua-dua Bahasa Inggeris dan Melayu dalam diri mereka.

Penekanan yang beliau berikan kepada peri pentingnya pendidikan bagi wanita sejajar dengan pencapaian beliau sebagai guru Melayu Singapura pertama dalam sejarah yang menerima gelaran PhD dari Department of International and Comparative Education,

Institute of Education, University of London pada tahun 1994.

Pencapaian Dr Kamsiah merupakan satu titik bersejarah bukan sahaja bagi guru-guru secara umum, tetapi bagi wanita Melayu khususnya.

Beliau menerajui idea clan imej wanita Melayu yang berani mengorak langkah, Keberanian dan kegigihan Dr Kamsiah untuk menaik taraf pendidikan para guru Melayu terbukti dengan usaha beliau berjuang untuk meyakinkan pihak Institut Pendidikan Nasional (NIE) membuka Program Sarjana Muda Sastera (dengan Kepujian) dalam Pengkhususan Bahasa Melayu di NIE pada tahun 2001.

Ketika itu beliau merupakan Ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu di NIE.

Dalam membincangkan jati diri wanita Melayu Singapura, Dr Kamsiah turut menghuraikan secara statistik, purata corak pimpinan rumah tangga dalam kalangan masyarakat Melayu dan eratnya hubungan di antara isu-isu kaum wanita dengan isu-isu nasional.

Visi yang beliau utarakan berdekad dahulu, ternyata relevan sehingga sekarang, Sumbangan wanita kepada pembangunan negara Singapura tidak dapat dinafikan.

Dalam masyarakat moden Singapura, seorang wanita memainkan pelbagai peranan, Pendidikan memberi peluang kepada wanita daripada semua lapisan masyarakat dan memartabatkan kewanitaan.

Pendidikan untuk wanita adalah kunci kepada peningkatan kesihatan keluarga dan status sosioekonomi masyarakat. 

Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat: Peneraju pemikiran intelektual Melayu berlandaskan budi

Pembentukan komep Arif Budiman yang diketengahkan pada tahun 2005 oleh Kementerian Pendidikan Singapura sebagai visi pendidikan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah merata Singapura, dibangunkan oleh jawatankuasa yang diketuai oleh Dr Hadijah.

Beliau telah menerajui penggalian sejarah dan warisan ilmu, pemikiran dan tamadun Melayu sehinggalah terbina rangka teori insan Arif Budiman.

Jati diri seorang manusia yang Arif Budiman dibentuk oleh kearifan menyeluruh yang merangkumi kearifan indera dalaman dan luaran.

Dr Hadijah mentakrifkan kearifan luaran dalam berbahasa dari segi 'budi bahasa', sementara dari segi kelakuan, yang diharapkan adalah insan yang mempunyai ‘budi pekerti’ atau tingkah laku yang baik terhadap masyarakat sekelilingnya.

Kearifan indera dalaman pula dimanifestasikan dari segi minda (akal budi), emosi (hati budi), kerohanian (hati nurani budi) dan sistem pertimbangan moral (budi bicara) seseorang.

Sumbangan Dr Hadijah kepada peningkatan kualiti pendidikan Bahasa Melayu melalui pembentukan visi Arif Budiman ternyata amat besar sekali.

Visi ini digunakan secara meluas bukan sahaja dalam kurikulum Bahasa Melayu sejak 2005 tetapi juga dalam mengiktiraf sumbangan guru Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah melalui Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) yang diperkenalkan pada tahun 2007.

Semangat yang dipaparkan oleh Dr Hadijah untuk menentukan jati diri guru-guru Bahasa Melayu dengan penguasaan falsafah yang baru, sesuatu yang setimbal dengan perwatakannya sebagai seorang pemimpin wanita yang terkedepan.

Beliau merupakan sasterawan wanita pertama yang memenangi Anugerah Tun Seri Lanang (2011) sejak 1993.

Dr Sa'eda Buang: Guru sejati, pejuang kemanusiaan

Dalam cerpen Ke Puncak Pun Tidak, Dr Sa'eda Buang membidas golongan elit yang mengabaikan tanggungjawab mereka kepada masryarakat melalui watak-watak utamanya, Rafeah dan Rosnah. 

Cerpen yang memenangi Hadiah Cerpen (2005) Anugerah Persuratan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) itu jelas menganjurkan wacana humanisme.

Dr Sa'eda menekankan pentingnya potensi dan agensi individu dan sosial manusia dalam pembangunan jati diri seseorang.

Watak Rosnah mencontohkan jelas falsafah humanisme, Beliau seorang wanita yang mempunyai pengaruh yang tenang namun kuat dan sentiasa menggalakkan temannya

Rafeah ke  arah kelakuan yang betul atas dasar kemanusiaan semata-mata.

Konflik antara dua watak ini, yang secara dasar mungkin nampak sekadar konflik antara dua teman yang mempunyai pegangan yang berbeza tentang apa yang harus dijadikan prioriti dalam kehidupan, sebenarnya merupakan satu cerminan mendalam isu-isu eksistensialisme yang mencabar jati diri wanita moden merentas fasa-fasa kehidupan yang berbeza.

Fokus yang diberikan terhadap isu tanggung jawab wanita kepada 'unit keluarga yang lebih besar, yakni masyarakat' merupakan soalan pangsi (pivotal question) yang begitu relevan kepada wanita hari ini. 

Watak Rosnah menegaskan bahawa seorang wanita itu tidak seharusnya tertumpu hanya kepada tanggung jawab domestik, dan beliau memujuk temannya Raeah agar terusmenyumbang kepada masyarakat.

Sifat prihatin kepada isu-isu masyarakat jelas kelihatan dalam diri Dr Sa'eda sebagai seorang penulis. Beliau sering mengetengahkan nilai-nilai kemanusiaan dalam karya-karyanya dan menyeru pembaca untuk bersifat kritis dan menggunakan akal dalam pemilihan nilai-nilai tradisi. 

Penulisan beliau juga memberi tekanan kepada pentingnya pembinaan kepimpinan masyarakat yang beretika, mempunyai belas kasihan dan turut sama mengambil bahagian dalam pembangunan negara secara kolektif.

Membina Rangka Teori Mutiara Jati Diri Wanita Arif Budiman

Berdasarkan konsep-konsep jati diri yang dikemukakan oleh ketiga-tiga tokoh wanita ini, saya lakarkan satu rangka teori yang meraikan keunggulan intelektualisme dalam diri mereka dan sekali gus boleh digunakan untuk menilai.

Pemilihan sebutir mutiara sebagai tunjang rangka Teori Mutiara Jati diri Wanita Arif Budiman ini berdasarkan fahaman yang diterima luas bahawa mutiara adalah simbol kewanitaan dan menawarkan perlindungan serta ketenangan.

(Gambar) Bahagian kaki cengkerang terbentuk oleh nilai-nilai teras peribadi dalaman yang membentuk jati diri seorang wanita yang arif budiman, iaitu seorang yang memiliki kearifan indera dalaman dalam domain-domain peribadinya.

Mutiara jati diri wanita yang arif budiman terbentuk apabila wanita itu:

• berakal budi dalam pendidikan (beradab dan merendah diri walau berilmu)

• berhati nurani dalam agama (berilmu agama tetapi tidak berkeras ke atas orang lain, malah meyakinkan dengan mengamalkan akhlak yang mulia dalam ruang peribadinya)

• berbudi bicara dalam berbahasa (cermat dan halus dalam pemilihan kata-kata)

• berhati budi dengan keluarganya (mengamalkan tata hidup keluarga yang murni, penuh belas kasihan dan berkasih sayang)

Bahagian induk mutiara, yang ternampak jelas apabila cengkerang dibuka, terdiri daripada kearifan luaran dan kelakuan seorang wanita dalam domain-domain masyarakat dan negara.

Wanita yang arif budiman:

• berbudi bahasa kepada masyarakat sekelilingnya (memuliakan orang lain dalam tutur katanya, sopan dalam pergaulan dan perkongsian pemikirannya)

• berbudi pekerti kepada masyarakat dan negara (berperikernarrusiaan dan melakukan kebajikan serta mengajak kepada kebaikan secara kolektif)

Ketiga-tiga tokoh wanita dalam esei ini, Profesor Madya Dr Kamsiah, Profesor Madya Dr Hadijah dan Dr Sa'eda merupakan wanita-wanita mutiara yang harus dipandang tinggi dan diraikan.

Semoga segala sumbangan mereka kepada keluarga, masyarakat dan negara menjadi perangsang kepada kita semua dan mereka sentiasa terpelihara seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Al-Waaqi’ah 56:23)

► Penulis pensyarah di Kumpulan Akademik (AG) Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC) Institut Pendidikan Nasional (NIE) Universiti Teknologi Nanyang (NTU)

DR ROSZALINA RAWI

Read the original article on Berita Harian.

Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction.

Media coverage