Kuliah umum sulung Kursi MAS singkap peranan pengajian Melayu menerusi lensa Pendeta Dr Ariff Ahmad
SINGAPURA: Walaupun media dan zaman berubah, tujuan perjuangan Almarhum Dr Muhammad Ariff Ahmad atau lebih dikenali sebagai Dr MAS, tetap sama — bukan untuk diri sendiri, tetapi demi masyarakat, bangsa dan negara.
Nilai utama itu diketengahkan oleh Profesor Arndt Graf, penyandang pertama Kursi Dr MAS dalam Pengajian Melayu di Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU).
Tokoh sarjana Asia Tenggara dari Universiti Goethe, Frankfurt itu berkata demikian di kuliah sulung Kursi MAS yang diadakan di Perpustakaan Negara pada Khamis (10 Okt).
Bertemakan “Melestarikan Warisan, Membina Masa Depan: Meneroka Peranan Pengajian Melayu sebagai Jambatan Masyarakat Melalui Lensa Pemikiran MAS,” Prof Graf menekankan bahawa Pengajian Melayu bukan sekadar bidang akademik, tetapi satu kekuatan budaya yang hidup — yang merentasi generasi dan zaman.
Beliau meneliti bagaimana visi dan perjuangan Dr MAS terus menjadi panduan kepada masyarakat Melayu dalam menghadapi arus kemodenan tanpa meninggalkan akar tradisi.
Prof Graf turut menyatakan bahawa tema kuliah itu dipilih bagi menghargai perjuangan Dr MAS yang melangkaui bidang kesusasteraan — merangkumi pendidikan, agama dan pembangunan bangsa.
Prof Graf berkata: "Susah sekali sebagai penyandang Kursi MAS pertama untuk memilih tema yang sesuai. Saya rasa perlu kita melihat tokoh itu secara keseluruhan, khususnya pada akhirnya dia begitu aktif dalam bidang agama dan pendidikan secara umum. Nilai-nilai yang ingin dia amanahkan kepada kita pada zaman ini, ini yang perlu ditonjolkan."
"Dr MAS bukan sahaja aktif untuk dirinya sendiri, kegemaran dia sendiri untuk menulis novel, puisi, pantun. Dia juga bukan aktif mencari keuntungan dari segi kewangan, Dia juga bukan aktif untuk masyarakat Melayu sahaja tetapi juga untuk negara dan bangsa. Itu yang menjadikan Dr MAS menjadi tokoh dan negarawan. Kalau kita lihat kehidupannya, dia bukan orang biasa," ujar beliau lagi.
Di bawah program Kursi MAS, pakar-pakar terkemuka dalam pengajian Melayu akan diundang ke Singapura untuk meneliti bahan-bahan di Hab Kajian dan Sumber Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS RRH@LIBRIS) serta merancang kajian relevan.
Sebagai profesor pertama yang menyandang Kursi MAS, Profesor Graf juga menjadi ahli panel bagi sesi perbincangan bersama pada Jumaat (10 Okt).
Bertemakan ‘Bahasa Melayu di Persada Global: Peluang dan Cabaran’, sesi itu akan dikendalikan oleh pensyarah kanan NIE, Dr Mohd Aidil Subhan.
WARISAN PEJUANG BAHASA YANG TERUS MENERAPKAN SIFAT-SIFAT ALMARHUM PENDETA
Bagi Cik Shahrulbariah Md Arif, anak kepada Allahyarham Dr MAS, penganjuran Kursi MAS merupakan pengiktirafan yang amat bermakna terhadap jasa bapanya dalam memartabatkan bahasa dan budaya Melayu.
“Arwah bapa saya telah berjuang untuk Bahasa Melayu sejak usia muda hingga ke akhir hayat. Walaupun tidak mampu berjalan, beliau masih mahu menulis dan mengajar masyarakat,” katanya. Bila jawatan profesor pertama ini dilangsungkan dan menjemput pakar yang benar-benar memahami arwah, saya rasa kagum dan bersyukur kerana masyarakat Melayu, terutama generasi akan datang, dapat manfaat daripadanya,” kata Cik Shahrulbariah.
Tambah beliau lagi, semangat dan sifat ingin belajar sepanjang hayat yang dimiliki bapanya wajar dicontohi.
Cik Shahrulbariah berkata: “Arwah bapa saya bersifat jati, kuat, dan ikut peredaran zaman. Pada waktu itu kita perlukan sastera untuk mengajar, kini ada media sosial. Pada pendapat saya, untuk melestarikan bahasa Melayu, kita perlu bersifat seperti arwah. Walaupun zaman bertukar, peralatan juga bertukar, tetapi sifatnya untuk perjuangkan bahasa, membangunkan masyarakat, perlu kekal untuk kita maju."
Semasa di acara kuliah umum itu, Biasiswa Pascasiswazah Muhammad Ariff Ahmad turut disampaikan kepada Encik Muhammad Khairool Haque Abdul Kadir, seorang pendidik Bahasa Melayu.
Beliau akan menjalankan kajiannya bertajuk "Kehidupan Kota dan Imaginasi Moral dalam Cerpen - cerpen Hamzah Hussin" di bawah penyeliaan pensyarah NIE/NTU, Dr Kartini Anwar.
Kali pertama Biasiswa Pascasiswazah Muhammad Ariff Ahmad diperkenalkan adalah pada tahun 2016.
Read the original article here.
Watch the broadcast here.
Source: Berita Mediacorp © Mediacorp Pte Ltd. All rights reserved.



