Guru Bahasa Melayu mahu pelajar jadi ‘jauhari’ kenal ‘manikam’, gilap potensi diri
Malay language teacher Cik Noorhidayah Md Taib, 40, from Compassvale Secondary School, lives by the proverb “jauhari juga yang mengenal manikam”—only the wise can recognize true value. Dedicated to nurturing thoughtful students, she fosters close bonds with her learners and continues to guide her first batch from 2016. A finalist for the 2025 Arif Budiman Teacher Award (Inspirational Category), she blends culture and creativity in teaching—through pantun, ketupat-weaving, and festive baking. Originally trained in Malay Language and Literature, she inspires students to discover their inner “gems.” Her teaching philosophy emphasizes empathy, cultural identity, and the ethical use of technology.
Peribahasa ‘jauhari juga yang mengenal manikam’ menjadi panduan dan falsafah pengajaran Cik Noorhidayah Md Taib dalam mendidik pelajarnya agar ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan untuk kebaikan dan kegunaan orang lain.
Berbekalkan peribahasa itu yang bermaksud ‘hanya orang yang bijak sahaja yang dapat menilai sesuatu benda atau perkara’, Cik Noorhidayah, 40 tahun, guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Compassvale, memastikan setiap yang diajar dapat dihadam pelajarnya agar mereka kelak bijak menilai antara yang baik dengan yang tidak.
Beliau menitikberatkan hubungan erat dengan pelajarnya, malahan masih berhubung dengan kumpulan pelajar pertamanya sejak 2016, dan sering bertemu mereka semasa sambutan Hari Raya.
Dedikasinya itulah yang membawa pada Cik Noorhidayah dicalonkan dan merupakan antara finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Kategori Perangsang) 2025, yang mengiktiraf guru Bahasa Melayu cemerlang di sekolah aliran utama atas dedikasi mereka dalam memperkaya pembelajaran bahasa di dalam dan luar bilik darjah.
Kategori ‘Perangsang’ dikhususkan bagi guru yang mempunyai pengalaman kurang 10 tahun dalam perkhidmatan, manakala Kategori ‘Teladan’ pula bagi mereka yang telah berkhidmat selama 10 tahun atau lebih.
Acara penyampaian anugerah gilang-gemilang yang dijadual sekitar November merupakan anjuran bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru-Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).
“Sewaktu saya mula mengajar, saya belum mempunyai anak. Saya melahirkan anak pertama saya pada Ogos 2019. Pada tahun yang sama, 87 peratus daripada kumpulan pelajar pertama saya berjaya meraih gred cemerlang.
“Menariknya, seorang pelajar Cina dari Indonesia yang saya ajar mendapat gred B3 dalam peperiksaan GCE peringkat ‘O’.
“Saya benar-benar terkejut melihat usaha saya membuahkan hasil, lebih-lebih lagi bagi pelajar bukan Melayu,” kata Cik Noorhidayah sambil tertawa kecil sewaktu ditemui di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) di Buona Vista.
Sebagai guru yang prihatin dan berdedikasi, Cik Noorhidayah menjadikan pembelajaran Bahasa Melayu lebih menarik melalui kegiatan kreatif dan yang berasaskan budaya, seperti menulis kad yang terisi dengan pantun untuk rakan sekelas, atau menganyam ketupat.
Dalam wawancara bersama BH, ibu dua anak berusia dua dan enam tahun itu menekankan peri pentingnya menerapkan sesuatu yang unik dalam pembelajaran.
“Kegiatan pantun memberi peluang kepada pelajar meluahkan perasaan sambil mempraktikkan bahasa.
“Inilah cara menerapkan sesuatu yang unik dalam pembelajaran Bahasa Melayu, yang saya percaya melangkaui apa yang terdapat dalam buku teks,” ujarnya.
Menurutnya, beliau pernah menganjurkan sesi membuat kuih bersama pelajarnya semasa Ramadan. Mereka membuat biskut Nutella dan emping jagung untuk diagihkan kepada rakan-rakan.
“Saya mahu pelajar saya berinteraksi secara langsung dengan budaya Melayu. Mereka perlu menggunakan apa yang dipelajari.
“Jadi saya cuba jalankan pelbagai kegiatan yang menggabungkan warisan budaya dengan pembelajaran secara amali,” tambahnya yang asalnya merupakan seorang pendidik bersekutu antara Ogos 2009 dengan Disember 2014.
Ketika memegang jawatan itu, beliau mengikuti pengajian peringkat ijazah secara sambilan dalam Bahasa Melayu dan Sastera di Universiti Institut Pengurusan Singapura (UniSIM).
Setelah tamat pengajian, beliau memohon untuk menjadi guru Bahasa Melayu dan Sastera, malahan diberi peluang berkhidmat sebagai guru kontrak tanpa pengalaman mengajar, selama enam bulan iaitu dari Januari hingga Jun 2015.
Pada Jun 2015, beliau melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Nasional-Universiti Teknologi Nanyang (NIE/NTU) bagi mengikuti kursus Diploma Pendidikan Possiswazah (PGDE).
Setelah menamatkan pengajian pada Jun 2016, beliau mula bertugas di Sekolah Menengah Compassvale sebagai guru Bahasa Melayu dan kekal mengajar selama sembilan tahun hingga kini.
Apabila ditanya tentang nilai pendidikan yang ingin diterapkan kepada pelajar, beliau mengaitkannya dengan peribahasa “jauhari mengenal manikam”.
“Peribahasa ini menekankan pentingnya pengetahuan dan keahlian untuk benar-benar memahami sesuatu.
“Sama seperti peribahasa ini, saya ingin pelajar saya mencari ‘manikam’ dalam diri mereka, iaitu potensi mereka yang tersembunyi dan boleh digilap melalui pengalaman amali,” jelas beliau.
Walaupun pada awalnya beliau bercita-cita menjadi guru Matematik, Cik Noorhidayah akhirnya memilih untuk mengajar Bahasa Melayu demi memelihara jati diri bangsa dan memupuk rasa bangga terhadap akar budayanya sendiri.
Sekiranya terpilih sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman, Cik Noorhidayah berharap dapat terus memberi inspirasi kepada rakan pendidik serta meninggalkan kesan mendalam kepada pelajarnya melalui pembangunan program yang memperkukuh akar budaya dan jati diri mereka.
Sepanjang perjalanan kerjaya sebagai seorang guru, beliau turut belajar tentang pentingnya memahami emosi dan situasi pelajar.
“Sebagai guru, kita tidak seharusnya cepat marah, tetapi cuba memahami sebab di sebalik tindakan mereka.
“Misalnya, jika mereka ingin menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT, saya tekankan nilai kejujuran.
“Yang penting bukan sekadar alatnya, tetapi bagaimana ia digunakan,” ujar beliau menutup perbualan.
Read the original article here.
Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction.




