Published on 04 Apr 2023

Dr Hadijah Rahmat terus berkarya dan kongsi kepakaran dalam pengajian Melayu selepas bersara

Tokoh pendidik dan pengkaji bahasa dan budaya Melayu, Dr Hadijah Rahmat bersara selepas 35 tahun berkhidmat di Jabatan Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia (ALC) di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU).

BERITAmediacorp: Tokoh pendidik dan pengkaji bahasa dan budaya Melayu, Dr Hadijah Rahmat bersara selepas 35 tahun berkhidmat di Jabatan Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia (ALC) di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU)

Walau bagaimanapun, beliau akan terus aktif dalam bidang penulisan dan berkongsi kepakarannya dalam bidang pendidikan.

Sepanjang lebih tiga dekad, Dr Hadijah sudah banyak berbakti kepada dunia pendidikan dan penulisan bahasa Melayu.

Bermula sebagai pensyarah pada 1 November 1987, banyak sekali pencapaian yang beliau kecapi di peringkat nasional dan serantau sepanjang berkhidmat di NIE-NTU.

Antara projek besar yang pernah diusahakan Dr Hadijah, 65 tahun adalah Hab Kajian dan Sumber Dr Muhammad Ariff Ahmad yang dilancarkan dua tahun lalu.

Bagi memartabatkan tahap profesionalisme guru bahasa Melayu, Dr Hadijah mengusahakan program sarjana muda dalam bahasa Melayu yang pertama di negara ini lebih 20 tahun yang lalu.

"Dengan usaha Dr Kamsiah Abdullah yang dahulu ketua di Jabatan Melayu saya dan beberapa pensyarah yang lain, kami mengusahakan supaya program sarjana muda ini diadakan. Alhamdulillah program itu kami adakan dan ini amat membantu para guru Melayu. Jika tidak para guru ini harus ke Malaysia," kata Dr Hadijah.

Dengan sokongan Kementerian Pendidikan (MOE), beliau turut melakarkan Visi Arif Budiman dan Anugerah Guru Arif Budiman bagi mengukuhkan lagi pembelajaran bahasa Melayu di negara ini.

"Kami mengambil masa lebih kurang setahun untuk meneliti kurikulum yang ada. Dan kemudian kami membuat lawatan pembelajaran ke Malaysia, ke institusi, ke sekolah-sekolah di sana dan akhirnya, hasil daripada kajian kami, kami menyarankan satu visi yang khas untuk pendidikan bahasa Melayu," ujarnya.

Di samping itu, beliau juga terlibat dalam banyak kerjasama di antara NIE-NTU dengan pelbagai pertubuhan dalam dan luar negara.

Pada Februari lalu, beliau memutuskan untuk bersara selepas 35 tahun berkhidmat di NIE-NTU.

"Proses yang saya lalui itu adalah proses pembelajaran sepanjang hayat. Sebab setiap kumpulan pelajar tak sama. Ia berbeza. Jadi itu adalah satu dorongan pada saya untuk terus sentiasa mengikuti perkembangan ilmu, membaiki kaedah pengajaran saya, pedagogi saya sesuai dengan citarasa selera generasi yang terkini," jelasnya.

PUPUK SIKAP PERSAMAAN, PERPADUAN SILANG BUDAYA

Semasa memimpin ALC, Dr Hadijah turut mengusahakan pelbagai program silang budaya bagi memupuk sikap persamaan dan perpaduan yang lebih kukuh.

"Bukan setakat hanya tahu budaya dan bahasa lain, tapi tidak memahami, tidak menghargai dan menghayatinya. Jadi melalui falsafah pimpinan yang baru ini, kami mengadakan pelbagai program. Misalnya kami adakan satu kursus elektif di mana pelajar-pelajar boleh mengambil kursus tentang cerita popular.

"Jadi ini kita perkenalkan dan kita mencari satu persamaan. Jadi unsur-unsur persamaan, kekuatan tamadun Asia ini kita galakkan pelajar-pelajar NIE pelajari dan mudah-mudahan mereka hayati dan pupuk nilai-nilai ini di sekolah-sekolah," katanya.

Rakan-rakan sejawatannya di ALC turut menghargai jasanya sebagai rakan kerja dan juga teman.

"Kami mula mencipta sekitaran pekerjaan yang sangat harmoni untuk para kakitangan. Dan apa jua masalah yang kami hadapi, apabila kami pergi kepadanya, beliau akan katakan 'Baik, mari kita duduk dan lihat apa yang kita boleh lakukan, bagaimana untuk menyelesaikannya," kata Penolong Ketua (Bahasa Cina), ALC, Prof Madya Aw Guat Poh.

Prof Madya Seetha Lakshimi, Penolong Ketua (Bahasa Tamil), ALC pula berpendapat: "Dr Hadijah adalah rakan kerja yang sangat dihargai. Beliau pernah berkongsi pelbagai aspirasi untuk jabatan dan divisyen ini. Pada masa yang sama, kita dapat banyak belajar tentang inisiatif-inisiatif baru daripada beliau."

Pengarah NIE-NTU, Profesor Christine Goh turut meluahkan penghargaannya kepada Dr Hadijah semasa perkhidmatannya.

"Dr Hadijah telah memupuk ALC yang stabil, bersatu dan kukuh di NIE yang terus menghargai dan meraikan perbezaan. Sebagai Ketua ALC yang komited dan kolaboratif, beliau memberi sokongan kuat kepada banyak inisiatif-inisiatif strategik di NIE," kata Profesor Goh.

RANCANG HASILKAN KARYA SASTERA BARU

Meskipun sudah bersara, jadual Dr Hadijah kekal padat.

Beliau yang sudah menghasilkan ratusan cerpen, puisi, dan buku merancang beberapa lagi karya.

Selain melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan, penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2022 itu juga bersedia untuk terus berkongsi kepakarannya selagi diperlukan.

"Saya sudah senaraikan beberapa buku untuk saya siapkan InsyaAllah. Dan sekarang pun yang projek segera, saya diminta oleh Masjid Sultan untuk menyiapkan buku tentang sejarah Masjid Sultan sebab tahun depan Masjid Sultan meraikan 200 tahun sejarahnya.

"Selagi hayat dikandung badan, saya akan terus berkhidmat, menyumbang untuk masyarakat saya, negara saya, agama saya, dan itu adalah memang niat saya, misi saya sejak awal. Dan mudah-mudahan saya diberi kesihatan, kekuatan untuk meneruskan dan menyumbang terus, InsyaAllah," kata Dr Hadijah.

PROF MADYA MOHD MUKHLIS ABU BAKAR PEMIMPIN BARU ALC

Jawatan sebagai Ketua Jabatan Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia kini disandang oleh Prof Madya Mohd Mukhis Abu Bakar.

Dr Hadjiah berkata beliau gembira dan syukur dengan pelantikan Dr Mukhlis yang cukup berpengalaman.

"Saya yakin dan juga pihak pentadbir NIE juga yakin bahawa beliau boleh memimpin, membawa ALC ke satu tahap yang lebih baik. Dan saya doa supaya beliau menjadi pemimpin ALC yang berjaya," kata Dr Hadijah.

Menerusi jawapan bertulisnya, Dr Mukhlis berkata kepimpinan Dr Hadijah sudah banyak menyumbang kepada kelancaran pentadbiran ALC.

Mengulas tentang pelantikannya: "Ia adalah satu tanggungjawab besar yang saya harap dapat saya bawakan dengan semangat yang sama seperti Dr Hadijah."

Antara pengiktirafan terkini yang beliau terima adalah Pingat Bakti Masyarakat di majlis Anugerah Hari Kebangsaan 2022.

Read the original article here

Source: Berita Mediacorp © Mediacorp Pte Ltd. All rights reserved