Published on 03 Mar 2024

Peribahasa ditiadakan dalam peperiksaan GCE ‘O’: Akan pupuskah bahasa Melayu?

Berita Harian also published an opinion piece in response to previous reports on the removal of Peribahasa. The writer noted that some had expressed their worries that the Malay language would be lost, however she noted that the learning of the language is planned according to the needs of the student. With the context of Malay language users decreasing, Dr Aidil made an expectation that in the same period of time, i.e. the next 40 years, there is a possibility that Malay language will have to be taught in English.

Baru-baru ini Berita Harian melaporkan bahagian peribahasa akan ditiadakan dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ Bahasa Melayu mulai 2024.

Laporan itu mendapat pelbagai respons dengan beberapa netizen menyuarakan maklum balas membina dan ada menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemansuhan bahagian peribahasa dalam peperiksaan.

Rata-ratanya, yang menyuarakan rasa tidak puas hati adalah disebabkan faktor rasa takut dan bimbang bahasa Melayu akan “hilang” di Singapura sekiranya pelajar tidak lagi didedahkan kepada peribahasa.

Ada juga berpendapat dengan ketiadaan peperiksaan peribahasa, mutu bahasa Melayu juga akan terjejas.

KEADAAN BAHASA MELAYU DI SINGAPURA

Persoalan pertama yang perlu dibincangkan ialah mengapa komponen peribahasa dikeluarkan daripada kertas 2 peperiksaan GCE ‘O’? Apakah faktor yang mendorong tindakan itu?

Pada pendapat saya, ini sudah tentu ada kaitannya dengan konteks dan keadaan bahasa Melayu di Singapura.

Singapura sebuah negara yang merangkumi pelbagai kaum dan agama, dengan bahasa Inggeris menjadi bahasa utama yang digunakan dan bahasa pengantara.

Dalam kehidupan harian pelajar juga, ramai dalam kalangan mereka menggunakan bahasa Inggeris.

Ini dapat dibuktikan menerusi kajian oleh seorang Pengkaji Bahasa Melayu dan Pensyarah Kanan Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Aidil Subhan. Dalam kajiannya, beliau mendapati peratusan penduduk Singapura yang menggunakan bahasa Melayu di rumah menjunam daripada 97 peratus pada 1980 kepada 60 peratus pada 2020.

Dengan konteks pengguna bahasa Melayu semakin berkurangan, Dr Aidil membuat jangkaan bahawa dalam jangka masa sama, iaitu 40 tahun akan datang, ada kemungkinan bahasa Melayu perlu diajar dalam bahasa Inggeris.

Apakah kaitan kajian ini dengan tindakan meniadakan komponen peribahasa dalam peperiksaan GCE ‘O’?

Jawapannya ialah, pembelajaran bahasa Melayu di Singapura dilakar dan dibina mengikut konteks dan keperluan pelajar.

Disebabkan semakin ramai pelajar menggunakan bahasa Inggeris, maka fokus pengajaran bahasa Melayu disesuaikan dengan keperluan konteks masa kini, iaitu terhadap keperluan komunikatif.

Penekanan terhadap kemahiran komunikasi tidak bermakna sukatan pelajaran yang dibina tidak mengambil berat aspek penulisan atau sehingga menjejas mutu pembelajaran sehingga pelajar tidak fasih lagi berbicara dalam bahasa Melayu.

Aspek-aspek itu tetap dikekalkan.

Yang diberi lebih penekanan ialah aspek perbualan bagi mengasah kemahiran berkomunikasi pelajar agar mereka dapat mempraktikkan bahasa dalam kehidupan harian.

Di Singapura, kecekapan komunikatif amat diperlukan khususnya dalam sektor ekonomi dan jalinan hubungan serantau serta pada peringkat global.

Ketiadaan komponen peribahasa dalam peperiksaan juga tidak bermakna mutu bahasa Melayu akan terjejas hingga pelajar tidak dapat berbahasa Melayu sama sekali atau bahasa Melayu akan pupus dengan serta-merta.

Aspek-aspek penulisan, seperti penulisan fungsional, aspek menggantikan perkataan yang betul di dalam teks, aspek meletakkan imbuhan yang betul dalam perenggan, serta bahagian menjawab soalan kefahaman dalam kertas peperiksaan masih dikekalkan.

Malah, hasil perkongsian dengan rakan-rakan tenaga pengajar juga mendapati peribahasa tetap diajar di dalam bilik darjah hanya pendekatannya lebih kepada bentuk perbincangan dan bagaimana ia boleh diaplikasikan dalam penulisan karangan.

Ini menjadikan pembelajaran peribahasa lebih praktikal dan bermakna, dan bukan sekadar menghafal senarai peribahasa untuk menjawab soalan peperiksaan tanpa memahami bila dan bagaimana menggunakannya sesuai dengan konteks.

FIKIRAN TERBUKA, BAHASA TIDAK JUMUD

Reaksi yang memikirkan ketiadaan aspek peribahasa dapat menjejas mutu bahasa Melayu di Singapura sebenarnya menggambarkan pemikiran dan tanggapan bahawa bahasa Melayu statik, tidak berubah mengikut konteks dan zaman, dan tidak juga bersifat progresif.

Sebaliknya, apabila kita melihat pada evolusi bahasa Melayu di Singapura, ia sentiasa berubah mengikut keperluan semasa. Di sini saya terpanggil merujuk kepada penulisan pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim, dalam bukunya yang berjudul ‘Bahasa dan Tantangan Intelektualisme’.

Dr Azhar menyanggah persepsi dominan yang sangat memberatkan aspek kebahasaan sehingga menepikan fungsi bahasa itu sendiri.

Sebaliknya, beliau menekankan pengguna bahasa perlu sedar bahawa pembangunan dan dinamika bahasa sentiasa berubah sejajar dengan ilmu dan pengetahuan sains lain, dan bukan sekadar tertakluk pada bahasa dan aspek kesusasteraan Melayu sahaja.

Perbendaharaan bahasa Melayu yang luas menjadikan pengguna lebih cekap mengembangkan daya pemikiran dan pembangunan masyarakat Melayu.

Ini sekali gus tidak menjadikan masyarakat Melayu sebagai masyarakat terkebelakang, kaku, atau kolot apabila berdepan dengan perubahan zaman.

LESTARIKAN BAHASA TANGGUNGJAWAB SIAPA?

Perbincangan tentang bahasa memang luas, menjangkau aspek peribahasa.

Sekiranya takut dan khuatir peribahasa akan pupus di Singapura atau ketiadaan komponen itu akan menjejas aspek bahasa Melayu di sini, tanggungjawab memastikan perkara itu tidak akan berlaku perlu dipikul bersama.

Harapannya ialah bahasa Melayu dapat digunakan sebaik mungkin, sekalipun pelajar mendapat pendedahan untuk membaca, menulis, dan bertutur dalam bahasa Inggeris di luar rumah dan di sekolah.

Pembangunan kemahiran literasi Melayu sebaiknya bermula di rumah untuk mencapai tahap ‘additive bilingualism’ – iaitu pelajar menguasai lebih daripada satu bahasa tanpa kehilangan atau mengurangkan kemampuan dalam bahasa pertamanya.

Yang tidak diinginkan ialah ‘subtractive bilingualism’, iaitu mereka menggunakan bahasa Inggeris di rumah dan mengetepikan bahasa ibunda mereka.

Saya yakin perubahan dan kemas kini yang dijalankan tidak akan menjadikan bahasa Melayu pupus atau ditelan zaman.

Sebaliknya, ia akan menjadikan pelajar pengguna bahasa Melayu yang cekap dan berupaya bertuturnya dengan fasih mengikut konteks semasa.

Penulis mantan wartawan di sebuah agensi berita di Singapura. Beliau lulusan Jabatan Pengajian Melayu NUS, dan berminat menulis mengenai orientasi agama, sastera dan isu berkaitan masyarakat Melayu. Rencana ini ditulis bagi Berita Harian.

Read the original article here

Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction.